GEORGE TOWN: Projek pembangunan Pulau Pinang Selatan (PSI) tidak akan menghalang nelayan menangkap ikan atau mengancam keterjaminan makanan memandangkan kebanyakan aktiviti menangkap ikan berlaku lebih jauh dari tapak penambakan.

Dalam kenyataan hari ini, Penang Infrastructure Corporation (PIC), syarikat tujuan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu, berkata zon menangkap ikan untuk nelayan pantai selatan Pulau Pinang adalah luas dan sehingga lapan batu nautika (14.8km) dari pantai.

"Nelayan tempatan biasanya menangkap ikan di kawasan yang terletak di luar tapak projek.

"Kami menerima maklumat ini daripada nelayan tempatan dan kami mengesahkannya dengan melakukan kiraan bot fizikal dan menggunakan imej satelit yang merakam pergerakan bot nelayan di perairan selatan Pulau Pinang.

"Memandangkan kami dapat mengesahkan bahawa kebanyakan aktiviti menangkap ikan berlaku lebih jauh dari tapak penambakan, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi nelayan yang memiliki bot dengan yang lebih besar, peralatan seperti enjin berkuasa, sonar, GPS dan pengangkut jaring untuk menjadikannya lebih mudah bagi mereka, sebagai sebahagian daripada Pelan Pengurusan Kesan Sosial (SIMP) projek itu," katanya.

Menurut PIC, pelan itu turut menawarkan bantuan kewangan, jeti baharu dengan kemudahan yang sesuai, latihan, peluang pekerjaan dan perniagaan, sokongan pendidikan untuk anak-anak mereka, skim pemilikan rumah dan saluran navigasi selebar 250m yang membolehkan nelayan turun ke laut tanpa mengira air pasang.

PIC juga menafikan dakwaan yang mengatakan projek itu akan memberi impak meluas dan adalah keterlaluan jika dikatakan projek penambakan di perairan Pulau Pinang akan memberi kesan kepada tempat-tempat sehingga ke Kedah dan Selangor.

Ia berkata langkah-langkah mitigasi akan mengehadkan kesan di tapak projek berdasarkan penilaian yang disediakan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan, yang memerlukan penambakan akan dilakukan secara berperingkat, oleh itu impak hanya akan berlaku secara beransur-ansur dan dikawal pada tapak kerja.

Menurut PIC, kajian yang diluluskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tahun lepas, menunjukkan walaupun tanpa pelaksanaan langkah tebatan yang rapi, serakan sedimen akan dihadkan berhampiran dengan kawasan tebus guna.

"Susun atur PSI telah dioptimumkan untuk memastikan impak minimum terhadap alam sekitar," katanya sambil menambah bahawa projek itu akan berada di bawah pengawasan pihak berkuasa yang berkaitan, iaitu Jabatan Alam Sekitar ( JAS).

Mengenai pemulihan ekologi dan pengurangan karbon, ia berkata projek itu akan melaksanakan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) yang bertujuan untuk meminimumkan kesan ke atas hidupan marin dan mewujudkan habitat baharu yang meningkatkan kelestarian sektor perikanan termasuk penanaman bakau, membina ekopersisiran pantai, melepaskan anak ikan dan benih udang, menggunakan tukun tiruan serta menyediakan dana untuk penyelidikan berkaitan marin.

"PSI direka dengan memikirkan masa depan, dan ini bermakna ia mesti disesuaikan dengan perubahan iklim dan cabaran lain yang mungkin muncul. Inilah sebabnya mengapa pembangunan PSI penting kepada ekonomi negeri.

"Projek ini bukan akan menamatkan mana-mana kumpulan atau komuniti. Ia adalah permulaan baharu bagi Pulau Pinang. Ia adalah projek yang akan memberi kita peluang untuk membina masa depan yang lebih baik dan lebih berdaya tahan dari segi ekonomi untuk generasi selepas kita," tambahnya.

-- BERNAMA