KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperketat kawalan aktiviti pendakian di seluruh negara, termasuk mengehadkan day hike atau compressed hike di kawasan pergunungan berisiko tinggi, bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kos operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Timbalan Menterinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata kecenderungan sesetengah pendaki yang mengambil mudah persediaan, mengejar trend media sosial dan meneroka laluan baharu tanpa kebenaran, menjadi antara punca utama kejadian kecemasan dan sesat di hutan.
“Fokus utama kerajaan ialah mengurangkan risiko kejadian sesat dan kemalangan, sekali gus untuk meminimumkan keperluan operasi SAR yang melibatkan kos serta sumber yang tinggi.
“… pendekatan kita ini bertujuan untuk mengurangkan risiko keletihan yang melampau, sesat laluan dan juga kejadian kecemasan sebelum ia berlaku,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Prof Emeritus Mohammad Redzuan Othman mengenai langkah memastikan keselamatan pendaki serta mengelakkan kes sesat yang membebankan kos operasi SAR kerajaan.
Syed Ibrahim berkata Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah menguatkuasakan larangan aktiviti compressed hike di kawasan berisiko, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara turut melarang aktiviti berkenaan di kawasan ekopelancongan, di bawah seliaannya.
Beliau berkata kerajaan sedang memperkukuh mekanisme saringan sebelum pendakian melalui pengisytiharan status kesihatan, rekod perubatan, perlindungan insurans serta cadangan pelaksanaan saringan gejala High Altitude Illness dan Acute Mountain Sickness terutama di Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Tahan, Pahang.
Syed Ibrahim berkata langkah itu membolehkan pendaki yang berisiko dikenal pasti lebih awal, sebelum dibenarkan menjalankan aktiviti pendakian.
“Selain itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia juga mewajibkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian yang berisiko tinggi.
“MGP yang berperanan sebagai jurupandu arah bertauliah turut menyokong aspek keselamatan pendaki, tindak balas kecemasan serta pematuhan kepada amalan pendakian,” katanya.
Syed Ibrahim berkata sehingga kini, sebanyak 2,322 orang daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli, telah ditauliahkan sebagai MGP melalui Program Pembangunan Kemahiran MGP.
Beliau berkata penggunaan teknologi seperti Sistem Pengurusan Trek Pendakian berasaskan Sistem Maklumat Geografi dan penderiaan jauh sedang dibangunkan bersama Agensi Angkasa Malaysia, selain ujian penggunaan peranti penjejak GPS bagi pendaki.
-- BERNAMA