Alat permainan seks dan motosikal 'moped' bernilai RM1.05 juta dirampas

Wan Norizan (empat, kanan) berkata, rampasan alat permainan seks serta dagangan mikromobiliti tanpa permit sah itu melibatkan nilai keseluruhan mencecah RM1.05 juta. - Foto Izwan Noordin
KUALA LUMPUR : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar dua kes berasingan membabitkan rampasan alat permainan seks serta kenderaan mikromobiliti tanpa permit sah dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.05 juta.
Pengarahnya JKDM Kuala Lumpur (WPKL), Wan Norizan Wan Daud berkata, rampasan pertama dilakukan ke atas sebuah premis perniagaan yang dijadikan lokasi penyimpanan di Taman Perindustrian Putra Puchong, di sini pada 30 September lalu.
"Hasil pemeriksaan kita (JKDM) menjumpai 18,140 unit alat permainan dewasa (adult toys) merangkumi lebih 30 jenis dan 20 jenama dengan anggaran nilai sebanyak RM800,000 disimpan di premis itu.
"Barangan itu diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Mutlak di bawah Jadual Pertama, Butiran Kelima, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media di Kompleks JKDM WPKL, Kelana Jaya, di sini, pada Selasa.
Dalam serbuan Wan Norizan berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga pemilik ditahan bagi membantu siasatan, dengan modus operandi dikenal pasti menggunakan premis di kawasan perindustrian sebagai lokasi penyimpanan barangan larangan.
Sementara itu dalam satu lagi serbuan berasingan, Wan Norizan berkata, sebuah kontena disita di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang kerana membawa motosikal 'moped' dan skuter elektrik tanpa permit import sah, pada 20 November lalu.
"Hasil pemeriksaan menemukan 373 unit dagangan disyaki moped berkapasiti 49cc dan skuter elektrik pelbagai saiz dan jenis dengan anggaran nilai RM154,626 serta cukai berjumlah RM93,940.
"Siasatan awal mendapati dagangan tersebut dibawa masuk dari China dalam bentuk komponen terlerai sebelum dipasang semula di kawasan Lembah Klang, dengan modus operandi pengikraran palsu dalam borang kastam bagi mengelak keperluan permit import," jelasnya.
Menurut beliau, dagangan mikromobiliti itu dikategorikan sebagai barangan larangan bersyarat di bawah Butiran 7, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang memerlukan kelulusan dan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


