KUANTAN: Seorang anggota polis trafik ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000 daripada beberapa individu dan pemilik syarikat lori sebagai balasan melindungi mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Temerloh.
Advertisement
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2024 dan 2025 dengan menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya," katanya.
Lelaki berkenaan kini direman selama empat hari hingga 6 Mac ini selepas Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar membenarkan permohonan daripada SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA