Skip to main content

Malaysia

Algoritma ancaman baharu perpaduan, belia jadi rebutan pengaruh - Sultan Nazrin

[TB]_International Summit of Religious Leaders, Sultan Perak 2_ASTRO AWANI
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga, di ibu negara, pada Jumaat. -Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah ancaman baharu terhadap perpaduan masyarakat kini bukan lagi akibat perbezaan fahaman atau pemimpin agama, sebaliknya algoritma media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Baginda bertitah, dunia kini berdepan realiti baharu apabila naratif kebencian, polarisasi dan perpecahan disebarkan secara sistematik menerusi platform digital yang digunakan setiap hari oleh generasi muda.

“Bayangkan seorang remaja berusia 17 tahun. Malam ini, di dalam bilik diterangi hanya cahaya skrin, dia sedang dipujuk secara berterusan oleh satu suara yang mengatakan dunia terbahagi kepada ‘mereka’ dan ‘kita’, bahawa jirannya adalah musuh, dan agama menuntut kemarahannya,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam titah perasmian ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga, yang berlangsung di sini, pada Jumaat.

Menurut Sultan Nazrin lagi, suara yang mempengaruhi generasi muda itu bukan datang daripada ilmuwan agama atau pemimpin masyarakat.

“Suara itu bukan suara seorang cendekiawan. Ia bukan suara imam, paderi, rabbi mahupun sami. Ia adalah suara algoritma,” titah baginda.

Baginda bertitah, maklumat palsu yang dijana AI kini mampu mempengaruhi ratusan juta golongan muda pada kadar yang tidak pernah dicapai oleh institusi tradisional.

“Maklumat palsu yang dijana AI dan dibungkus dengan naratif ketidakpuasan hati kini sampai kepada ratusan juta golongan muda pada skala dan kepantasan yang tidak pernah mampu dicapai oleh mana-mana khutbah atau ceramah.

“Naratif yang memecah-belahkan masyarakat sedang dimenangi oleh suara-suara yang tidak kita kawal, di platform yang bukan milik kita, dan menggunakan bahasa yang terlalu lambat untuk kita kuasai,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah perkembangan itu menjadikan golongan muda sasaran utama pelbagai pihak yang mahu mempengaruhi cara mereka berfikir, melihat dunia dan berinteraksi dengan masyarakat.

Justeru, baginda bertitah konflik sebenar pada masa kini bukan sekadar pertarungan idea, tetapi perebutan untuk memenangi hati dan fikiran generasi muda.

“Golongan ekstremis dan pendidik agama sebenarnya sedang bersaing untuk merebut hati golongan muda yang sama, menggunakan bahasa suci yang sama,” titah baginda.

Menurut baginda, golongan ekstremis tidak mendekati anak muda melalui hujah politik semata-mata, sebaliknya menggunakan pendekatan yang menyentuh emosi dan pencarian identiti.

“Golongan ekstremis tidak mendekati anak muda dengan manifesto politik yang kering. Mereka datang berselindung di sebalik kitab suci dan memetik ayat-ayat sama yang digunakan kita.

“Mereka memanipulasi pencarian makna hidup yang sama, keinginan yang sama untuk tujuan hidup yang jelas, serta dahaga yang sama terhadap maruah diri.

“Lalu dengan penuh licik mengalihkannya daripada sifat belas ihsan kepada rasa marah dan dendam,” titah baginda.

Baginda mengingatkan golongan berkenaan turut menawarkan rasa kekitaan yang bersandarkan permusuhan terhadap pihak lain.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah institusi agama perlu berubah dan memahami bahasa serta medium yang digunakan oleh generasi muda hari ini.

“Jika apa kita tawarkan hanya ceramah yang jauh daripada realiti mereka, dalam bahasa yang sudah tidak mereka gunakan, disampaikan di bangunan yang sudah tidak lagi mereka kunjungi.

“Bermaksud kita hadir dengan sebuah ‘manuskrip’ untuk bertarung dalam pertempuran yang sedang berlangsung di telefon pintar,” titah baginda.

Menurut baginda, pemimpin agama tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada teknologi untuk membentuk nilai dan jati diri generasi muda.

“Skrin mampu menyampaikan maklumat, tetapi hanya manusia mampu memberikan makna.

“Golongan muda bukan masa hadapan semata-mata, mereka adalah masa kini.

“Mereka sedang menggerakkan perubahan, mencipta inovasi, membentuk gerakan masyarakat dan mengubah wacana awam dalam ruang digital serta fizikal yang kita kongsi bersama,” titah baginda.

Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga menghimpunkan sekitar 1,500 peserta dari 31 negara dengan tema Pemimpin Agama dan Pemerkasaan Belia: Memperkukuh Kehidupan Bersama serta Keharmonian Masyarakat.

Peserta terdiri daripada pemimpin agama, ulama, cendekiawan, ahli akademik, pembuat dasar dan tokoh masyarakat.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Must Watch Video

Advertisement