MALAYSIA
Aliran pelancong dari Malaysia ke Rusia meningkat dua kali ganda pada suku pertama 2025

Orang ramai berjalan di Dataran Merah berlatarbelakangkan Katedral St Basil di Moscow, Rusia. - Foto fail/REUTERS
MOSCOW: Bilangan pelancong dari Malaysia yang melawat Rusia meningkat dua kali ganda pada suku pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia Maksim Reshetnikov, menurut agensi berita TASS.
"Pelancong Malaysia kini lebih kerap mengunjungi Rusia. Pada suku pertama 2025, aliran pelancong meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya," katanya seperti dipetik oleh kenyataan media kementeriannya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasil pertemuan rasmi Presiden Vladimir Putin dengan Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Ibrahim.
Menurut Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, bilangan rakyat Rusia yang melancong ke Malaysia juga menunjukkan peningkatan, melebihi paras pra-pandemik COVID-19 sebanyak 64 peratus pada 2024 berbanding 2019.Mulai Julai 2025, tempoh sah e-visa ke Rusia telah dilanjutkan daripada 60 kepada 120 hari, manakala tempoh tinggal dibenarkan dilanjutkan daripada 16 kepada 30 hari. Seramai kira-kira 5,000 individu telah menggunakan kemudahan ini setakat ini.
Reshetnikov turut memaklumkan bahawa rakyat Malaysia merupakan kumpulan pelancong asing pertama yang mencuba mekanisme pembayaran baharu Rusia menerusi "kad pelancong", yang membolehkan mereka membuat pembayaran bagi penginapan, pengangkutan, lawatan ke muzium dan perbelanjaan lain dengan tambah nilai secara dalam talian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami