KUALA LUMPUR: Aliran trafik keluar dari Lembah Klang dilaporkan lancar bagi laluan menghala ke utara dan timur tanah air setakat pagi tadi.

Ini susulan warga kota telah pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan laluan utama di semua lebuh raya termasuk di sekitar plaza tol masih dalam keadaan lancar dan terkawal.




Malam tadi dilaporkan trafik sedikit sesak di kawasan Simpang Ampat-Ayer Keroh di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan.

Llm juga berkata tiada penambahan ketara bilangan kenderaan setakat ini dan aliran trafik dijangka kekal pada pergerakan sama.

Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melaporkan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya semasa cuti perayaan berkenaan bermula 7Julai hingga 12 Julai ini.

Sementara itu, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) Anih Berhad menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu bermula semalam hingga 11 Julai ini.