KUALA LUMPUR: Islamic Tourism Month (ITM) 2026 kembali sepanjang September dengan menghimpunkan pelbagai tawaran pelancongan mesra Muslim daripada penggiat industri di seluruh negara.
Memasuki edisi kelima, program anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pelancongan mesra Muslim serta menggalakkan rakyat dan pelancong meneroka pelbagai destinasi, penginapan, produk dan perkhidmatan tempatan.
Ia dianjurkan ketika Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dunia menerusi Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026, untuk tahun ke-11 berturut-turut.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pencapaian itu mencerminkan usaha memperkukuh ekosistem Muslim-Friendly Tourism and Hospitality (MFTH) menerusi kerjasama industri serta pembangunan standard bertaraf antarabangsa.
Setakat ini, lebih 100 hotel, penginapan, taman tema, pusat konvensyen dan produk pelancongan menerima pengiktirafan menerusi program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) kendalian ITC.
Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, ITM bukan sekadar kempen promosi, sebaliknya platform yang menghubungkan pemain industri, agensi kerajaan dan pengguna.
Katanya, ITM 2026 turut membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan keterlihatan serta mengembangkan pasaran.
Portal rasmi ITM tahun ini turut ditambah baik dengan kemudahan tempahan dan pembayaran dalam talian, dengan kerjasama AirAsia MOVE, MNet Technologies dan Incentiv5.
ITM 2026 turut bekerjasama dengan Global Halal Summit (GHaS), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan program Mosque Open Day, yang menggabungkan elemen pelancongan, budaya, halal dan komuniti.
Sejak diperkenalkan pada 2022, nilai jualan dan promosi ITM meningkat daripada RM2.59 juta pada 2024 kepada RM2.64 juta pada 2025, sekali gus menunjukkan potensi pelancongan mesra Muslim sebagai pemacu pertumbuhan industri pelancongan negara.