MIRI: Kesemua jasad mangsa nahas pesawat helikopter BO 105S yang terhempas di Lapangan Terbang Pendek Long Lellang dijangka dituntut keluarga hari ini.
Pesururuhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi mengesahkan keputusan deoxyribonucleic acid (DNA) kesemua mangsa telah pun diperolehi.
"Hari ini kita akan serah jasad, insya-Allah," katanya menerusi pesanan WhatsApp.
Ia akan berlaku selepas selesai semua proses dokumentasi, tambahnya
Sementara itu, satu taklimat akan diadakan di hotel penginapan keluarga mangsa, tidak jauh dari Lapangan Terbang Miri hari ini, sebelum proses menuntut, mengurus dan menghantar jasad ke lokasi masing-masing dilakukan.
Jenazah Kapten Zainol Afiq Bee Sham dijangka diterbangkan ke Senawang, Negeri Sembilan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin (Tanah Merah, Kelantan) dan Debra Moset ke Kampung Semadang, Padawan, Sarawak).
Dua lagi mangsa akan diurus di Miri iaitu Alexson Adit Henry di Gereja Good Shephard, Lutong manakala Jessie Paya Jok, di kediamannya di Jalan Wang Lusut, Kampung Tunku.
Sementara itu, Zainal turut mengesahkan bahawa bangkai pesawat B10-105 yang terlibat nahas telah dibawa ke Miri, menggunakan dua buah lori petang semalam, dan telah menempuh perjalanan lebih 10 jam.
Ia untuk mempermudah urusan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.