JOHOR BAHRU: Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman atau "experiential learning" yang diterapkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilihat menjadi pemangkin utama dalam melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran industri sebenar.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Dr Mohd Syahrizal Sunar, pendekatan itu memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah menerusi penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi industri, agensi kerajaan dan masyarakat.
Beliau berkata pembelajaran tidak lagi terhad kepada teori semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada pelbagai projek inovasi yang memberi pendedahan langsung kepada dunia pekerjaan.
“Pelajar bukan sahaja mempelajari ilmu di dalam kelas, tetapi turut dilatih menyelesaikan masalah sebenar. Pendekatan ini meningkatkan kreativiti, daya tahan dan profesionalisme mereka,” katanya ketika ditemui dalam program AWANI Pagi.
Tambah beliau, hubungan strategik antara universiti dan industri memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang lebih holistik.
Mohd Syahrizal berkata, pelajar berpeluang turun ke lapangan bersama pensyarah untuk melihat sendiri cabaran industri, manakala pemain industri turut hadir ke kampus bagi berkongsi pengalaman serta keperluan semasa sektor pekerjaan.
UTM juga menggalakkan pelajar menyertai aktiviti persatuan, kesukarelawanan, kepimpinan, keusahawanan dan pertandingan inovasi di dalam serta luar negara bagi memperkukuh kemahiran insaniah mereka.
Antara contoh kejayaan pendekatan itu ialah penglibatan pelajar dalam pasukan UTM Robocon yang telah mencatat pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang lebih dua dekad penyertaan.
Selain itu, inovasi pelajar turut diterjemahkan menerusi projek UTM Rocketry yang menyaksikan pelajar membangunkan roket sendiri untuk bersaing dalam pertandingan kejuruteraan roket antarabangsa.
Projek berkenaan mendedahkan pelajar kepada penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), simulasi digital, telemetri serta penyelesaian masalah berasaskan situasi dunia sebenar.
Mengulas perancangan masa depan, Mohd Syahrizal berkata UTM menerusi pelan pembangunan ASCEND 2030 memberi penekanan kepada pembangunan bakat global yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi tetapi mempunyai nilai kepimpinan, sahsiah dan kebolehpasaran yang kukuh.
“Matlamat kita adalah melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga mampu memberi sumbangan bermakna kepada industri, masyarakat dan negara,” katanya.