KUALA LUMPUR: Berita pemergian Allahyarham Jaafar Onn memberikan tamparan hebat buat penyanyi dan juga rakan rapat Allahyarham, Haiza Hanafi.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang yang sangat pemurah, rajin berkongsi rezeki serta ilmu sehingga membentuk kerjaya Haiza dalam dunia pengacaraan pada hari ini.

“Saya mula mengenali arwah sejak awal penglibatan dalam industri seni ketika berumur 15 tahun.

“Pada ketika itu, saya sering perhatikan cara arwah bekerja, mengacarakan pelbagai program, sehingga timbul minat untuk memulakan kerjaya sebagai seorang pengacara,” jelasnya.

BACA: Allahyarham Jaafar Onn meninggal ketika prosedur endoskopi - Anak angkat

Tambah Haiza, Allahyarham juga tidak lokek berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan.

“Sewaktu zaman sihatnya, arwah bersama rakan artis veteran lain akan keluar mencari peluang membuat kebaikan dengan mengagih bekalan beras.

“Ada satu ketika, lewat malam kami baru sahaja selesai tugas di Sabah, arwah sanggup menawarkan diri untuk pergi ke pasar untuk beli bahan basah dan kemudian masakkan untuk saya makan,” tambahnya.

Haiza yang sudah menganggap Allahyarham seperti bapa sendiri lebih selesa memanggilnya dengan panggilan mesra ‘Papa’.

Allahyarham bagaimanapun, tidak pernah berkongsi tentang keadaan kesihatan beliau kepada Haiza sebelum ini.

“Arwah seorang yang ceria, menghiburkan orang sekeliling dan memberi sokongan kepada rakan-rakan sekerja.

“Sejak mengenali beliau, Papa sering menasihati saya tentang penjagaan kesihatan dan pemakanan.

Perkhabaran duka ini disampaikan kepada Haiza kira-kira jam 11:28 pagi pada Rabu melalui sebuah kiriman suara di Whatsapp oleh salah seorang ahli keluarga arwah.

Jenazah Jaafar Onn masih di Hospital Serdang dan dijangka akan dibawa pulang ke Muar untuk dikebumikan di sana.