MALAYSIA
Allahyarham Juma'ani seorang wanita penyayang, lembut tutur kata

Allahyarham Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang dikenang sebagai wanita penyayang, lemah lembut, dan aktif dalam kerja kebajikan serta seni kraf oleh SABATI dan pemimpin negeri.
KUCHING: Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak (SABATI) menyifatkan isteri kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Allahyarham Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang sebagai seorang wanita yang berjiwa penyayang dan lembut tutur katanya.
Ringkasan AI
- Allahyarham Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang, isteri Premier Sarawak, dikenang sebagai wanita penyayang, lemah lembut, dan aktif dalam kerja kebajikan serta seni kraf oleh SABATI dan pemimpin negeri.
- Beliau banyak menyumbang dalam memperkenalkan seni keringkam dan songket, serta menyokong program untuk wanita, warga emas dan OKU, menjadikan kehilangannya amat dirasai.
- Jenazah Allahyarham ditempatkan di Masjid Jamek Negeri Sarawak untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang; beliau meninggal dunia pada usia 76 tahun.
"Malah, beliau juga seorang pencinta seni kraf seperti keringkam dan songket serta banyak menyumbang dalam usaha memperkenalkannya kepada masyarakat umum," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir di Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah menyifatkan Allahyarham Juma'ani sebagai seorang isteri contoh yang sangat lemah lembut, tetapi teguh dalam menyampaikan mesej dan nasihat.
"Kehilangan ini amat dirasai seluruh warga kementerian memandangkan Allahyarham aktif menyokong program untuk wanita, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), serta sentiasa hadir pada sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri.
"Kami akan merindui kehadiran dan sentuhan beliau dalam setiap program. Doa kami agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," katanya.
Jenazah Allahyarham Juma'ani ditempatkan di Masjid Jamek bagi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, di sini.
Juma'ani, 76, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta pada 3.34 pagi tadi.
Allahyarham merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak kedua Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami