JERANTUT: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan terselamat apabila kenderaan jenis Toyota Alphard milik bapanya terjunam ke dalam Sungai Betong sedalam kira-kira 6 meter, dekat sini kira-kira jam 11.10 pagi, hari ini.

Namun, bayi tersebut cedera ringan dan dikeluarkan oleh orang awam yang berada di situ dan paras air sungai ketika itu dianggarkan 0.6 meter.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Osman Abd Malik memaklumkan, seramai sembilan anggota BBPJerantut bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan dan mendapati bayi perempuan itu telah dinaikkan oleh orang awam.

“Terima kasih kepada orang awam yang bertindak cepat untuk mengeluarkan bayi tersebut yang terperangkap di dalam kenderaan yang terbalik di dalam sungai itu.

“Anggota BBP Jerantut turun ke dalam sungai menggunakan tangga untuk menaikkan barang-barang kepunyaan tuan punya kereta dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut.

“Menurut saksi awam yang melihat kejadian tersebut, kenderaan itu mengelongsor semasa ibu dan bapa bayi tersebut tiada di dalam kenderaan itu,” ujar Osman lagi.