Skip to main content

Malaysia

Amal langkah penjimatan tenaga praktikal hadapi ketidaktentuan global - FOMCA

51444039544_DrMarimuthuNadason.jpg
Marimuthu berkata, antara langkah proaktif yang boleh diambil ialah menetapkan suhu penyaman udara pada tahap sederhana atau beralih kepada penggunaan kipas, selain meningkatkan pengudaraan semula jadi dan mengurangkan haba dalam rumah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat mengamalkan langkah penjimatan tenaga yang mudah dan praktikal susulan ketidaktentuan tenaga global akibat krisis berlarutan di Asia Barat.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Dr N. Marimuthu berkata, langkah menggunakan tenaga dengan lebih bijak dapat membantu mengurus kos, meningkatkan daya tahan isi rumah serta menyumbang kepada keselamatan tenaga negara.

Advertisement

“Ketidaktentuan harga bahan api dan elektrik menjejaskan pengguna di banyak negara dan Malaysia tidak terkecuali daripada kesan luaran ini. FOMCA menekankan kepentingan kesiapsiagaan di peringkat isi rumah melalui penggunaan tenaga yang praktikal dan mampan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. 

Marimuthu berkata, antara langkah proaktif yang boleh diambil ialah menetapkan suhu penyaman udara pada tahap sederhana atau beralih kepada penggunaan kipas, selain meningkatkan pengudaraan semula jadi dan mengurangkan haba dalam rumah.  

Beliau berkata, penggunaan elektrik perlu diurus dengan lebih berhemat dengan mengelakkan penggunaan serentak peralatan berkuasa tinggi serta memastikan ia tidak dibiarkan dalam mod siap sedia, memasak menggunakan peralatan sesuai bagi mengelak pembaziran haba serta hanya mencuci pakaian apabila muatan penuh.

“Dari segi pengangkutan, pengguna digalakkan mengamalkan mobiliti yang lebih cekap seperti berkongsi kenderaan, menggunakan pengangkutan awam dan menggabungkan beberapa urusan dalam satu perjalanan.

“Mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api dan tekanan terhadap permintaan tenaga,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan pengguna agar tidak panik atau membuat perubahan gaya hidup secara drastik sebaliknya percaya perubahan kecil dan konsisten mampu memberikan penjimatan yang bermakna tanpa menjejaskan keselesaan.

Katanya, perubahan itu jika diamalkan secara kolektif mampu memberi impak yang besar bukan sahaja dari aspek penjimatan kos tetapi juga tanggungjawab nasional.

“Pengurangan penggunaan tenaga membantu menstabilkan permintaan, mengurangkan tekanan terhadap sistem bekalan serta menyokong usaha kelestarian jangka panjang.

“Melalui penjimatan tenaga yang praktikal pengguna dapat membantu mengurangkan kesan ketidaktentuan global serta menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video