Ringkasan AI
- Seramai 32 penumpang dikejarkan ke hospital selepas kapal kargo merempuh kapal persiaran sungai di Sungai Mississippi, menyebabkan kapal itu terbalik.
- Insiden berlaku ketika kapal persiaran sedang menurunkan penumpang di New Orleans, dengan semua penumpang dan kru berjaya dipindahkan dengan selamat.
- Punca perlanggaran masih disiasat dan laluan kapal di kawasan terbabit ditutup sementara untuk operasi menyelamat serta siasatan lanjut.
NEW ORLEANS: Seramai 32 penumpang dikejarkan ke hospital selepas sebuah kapal kargo merempuh kapal persiaran sungai yang membawa 129 penumpang di Sungai Mississippi, Amerika Syarikat (AS), mengakibatkan kapal itu tenggelam sebahagian dan terbalik.
Menurut pihak berkuasa, insiden berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari waktu tempatan pada Jumaat apabila kapal kargo Atlantic Asphalt melanggar kapal persiaran American Heritage yang sedang berlabuh di New Orleans.
Datuk Bandar New Orleans, Helena Moreno, berkata semua penumpang berjaya dikenal pasti dan tiada yang dilaporkan cedera parah.
Beliau berkata kapal persiaran itu sedang menurunkan penumpang apabila kapal kargo berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuhnya.
“Ketika penumpang sedang turun, kapal itu mula dimasuki air sebelum senget dan akhirnya terbalik, menyebabkan beberapa individu terjatuh ke dalam sungai,” katanya.
Menurut laporan agensi berita Associated Press (AP), ramai mangsa yang memakai jaket keselamatan berjaya diselamatkan dari sungai dan dipindahkan ke kapal berhampiran.
Operasi menyelamat membabitkan polis pelabuhan, bomba, Pengawal Pantai AS dan pasukan perubatan kecemasan.
Syarikat American Cruise Lines yang mengendalikan kapal persiaran itu memaklumkan semua penumpang dan kru telah dipindahkan dengan selamat sambil menyatakan kebimbangan terhadap mereka yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Punca sebenar perlanggaran masih disiasat, manakala pihak berkuasa turut belum mengesahkan sama ada kapal kargo sepanjang 160 meter yang berdaftar di Kepulauan Marshall itu membawa muatan ketika kejadian berlaku.
Susulan insiden itu, laluan kapal di kawasan terbabit ditutup sementara bagi membolehkan operasi menyelamat dan siasatan dijalankan.