Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sama dengan kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Menurut beliau, kedua-dua kerajaan itu mengamalkan politik wang dan menggunakan kuasa kerajaan untuk menekan rakyat.

“Dalam tiga bulan pertama pentadbiran kerajaan, kita tak begitu kritik kerajaan tapi selepas tiga empat bulan lepas, kita dapati bahawa kerajaan ini sama dengan kerajaan Najib.

“Amalkan politik wang, gunakan kuasa kerajaan untuk menekan rakyat dan dari segi politik, cuba menghapuskan pembangkang. Ini yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini yang turut dihadiri bakal Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa pemimpin Pejuang lain.


Tegas Dr Mahathir, salah laku kerajaan harus ditegur dan ia lebih efektif sekiranya sebuah parti politik menegur semua kesalahan itu.

“Sebab itu kita tubuhkan Pejuang. Matlamatnya sama seperti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tapi kita tak boleh jadi ahli Bersatu kerana Bersatu dah kena ‘hijack’ dan kita buat parti baharu ini.

“Tujuannya sama kerana perjuangan melawan korupsi, salah guna kuasa masih diperlukan,” ujarnya.

Astro AWANI pada 19 Ogos lalu melaporkan Pejuang didaftarkan secara rasmi dengan menggunakan huruf Jawi ‘Pa’ sebagai logo.

Bakal Presiden Pejuang, Mukhriz menjelaskan logo berwarna ‘biru pantone’ itu turut terdapat tiga titik yang bermaksud Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara.