KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) membuat laporan polis hari ini terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya dalam Taklimat Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Sabtu lalu.

Menurut Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzah, ucapan Ahmad Zahid secara terbuka menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita buat satu laporan polis kepada Presiden UMNO di mana ucapan beliau ketika menyampaikan Taklimat Presiden pada 27 Ogos lalu, di rumah UMNO di WTC.

"Beliau ada menyatakan dengan jelas dan boleh ikuti ucapan beliau menerusi media sosial, beliau menyatakan dengan jelas Badan Kehakiman dalam negara kita ini, Jabatan Peguam Negara dan SPRM sudah menjadi perkakas kepada pihak tertentu dalam menentukan soal siasatan, tindakan dan hukuman hendak dijatuhkan kepada mereka yang didapati bersalah," jelasnya.

BACA: Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

Tegas Mohd Sany, ucapan Ahmad Zahid itu berniat jahat dan menjatuhkan reputasi institusi penting di negara ini.

Justeru, satu laporan polis dibuat bagi meminta polis menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

"Pada kami isu ini suatu isu sangat berniat jahat menjatuhkan reputasi institusi penting dalam negara kita, dan secara langsung kenyataan Presiden UMNO ini telah menghina Yang di-Pertuan Agong.

"Kerana kita tahu untuk pelantikan ketiga-tiga badan sangat penting dalam negara kita ini, perlu mendapat perkenan dariapda Yang di-Pertuan Agong.

"Sebab itu hari ini kita hadir di IPD Dang Wangi membuat laporan polis, dan kita minta polis menyiasat segera kenyataan biadap, tidak bertanggungjawab Presiden UMNO yang telah menghina institusi penting dalam negara kita ini dan juga menghina Yang di-Pertuan Agong," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara kira-kira jam 11.00 pagi Sabtu.