KUALA LUMPUR:Parti Amanah Negara (Amanah) menjunjung kasih keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang menolak permohonan untuk Pengisytiharan Darurat.

Presidennya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu berkata, keputusan itu diyakini dibuat dengan penuh hemah dan kebijaksanaan demi kepentingan rakyat. 


Terdahulu, dalam kenyataan oleh Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, YDP Agong telah memperhalusi permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara

Namun, katanya lagi, selepas memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Justeru, Baginda Tuanku berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.