KUALA LUMPUR: Amaran hujan berterusan yang sedang berkuat kuasa sehingga esok bagi kawasan di timur Sabah, berpotensi berlanjutan sehingga 3 Jan depan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini menjelaskan keadaan itu berikutan luruan monsun sedang berlaku dan dijangka akan berlanjutan sehingga 3 Jan depan, malah pada masa yang sama ribut petir juga dijangka boleh berlaku di seluruh Sabah.

Justeru katanya, semua pihak diminta untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan dari semasa ke semasa.

Pada Jumaat lepas, jabatan itu mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan kawasan timur Sabah iaitu Lahad Datu, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat yang berkuat kuasa sehingga esok.

Selain itu, angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

-- BERNAMA