Skip to main content
Advertisement

Berita

Pelaburan asing buka peluang universiti, pelabur tempatan perkukuh inovasi

Profesor Ir. Ts. Dr. Juliana Johari
Dr Juliana berkata universiti mampu menyokong pelabur asing menerusi akses kepada kepakaran penyelidik serta pelajar pascasiswazah. - Gambar Facebook UiTM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemasukan pelaburan asing dalam sektor teknologi dan inovasi membuka peluang lebih besar kepada pelabur tempatan serta institusi pengajian tinggi untuk memperkukuh pembangunan produk menerusi perkongsian kepakaran dan kemudahan penyelidikan.

Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Ir Ts Dr Juliana Johari berkata, universiti mampu menyokong pelabur asing menerusi akses kepada kepakaran penyelidik serta pelajar pascasiswazah, selain kemudahan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan menerusi kerjasama.

“Daripada menubuhkan semua keupayaan penyelidikan secara dalaman, syarikat boleh bekerjasama dengan ahli akademik yang mungkin sudah mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam bidang pengkhususan tertentu.

“Universiti dan institusi penyelidikan juga mempunyai makmal, instrumen khusus, kemudahan analisis dan peralatan skala perintis yang boleh dimanfaatkan syarikat menerusi kerjasama,” katanya dalam program Investment Insider, pada Isnin.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan syarikat memanfaatkan kepakaran dan infrastruktur sedia ada universiti tanpa perlu membangunkan keseluruhan keupayaan penyelidikan secara sendiri.

Menurutnya, bidang seperti semikonduktor turut menunjukkan potensi kerjasama antara universiti dan industri apabila pembiayaan penyelidikan dapat digunakan untuk membangunkan proses berkaitan, selain mendapatkan peralatan berteknologi tinggi bagi tujuan pengajaran, pembelajaran dan inovasi.

Katanya lagi, pelaburan oleh syarikat dalam pembangunan produk atau inovasi juga dapat memberi manfaat kepada universiti menerusi penggunaan kemudahan serta kepakaran yang tersedia.

Tambahnya, kerjasama itu pada masa sama dapat membantu merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dengan keperluan industri, khususnya dalam proses membawa sesuatu teknologi daripada peringkat makmal kepada produk yang boleh dikomersialkan.

Saksikan Investment Insider setiap Isnin, 9 malam, di saluran 501 Astro AWANI, yang mengupas secara mendalam tentang strategi, insentif dan inisiatif pelaburan kerajaan negeri Selangor.

Must Watch Video

Advertisement