[TERKINI] Amaran Ribut Tropika Senyar: Hujan lebat, angin kencang mulai hari ini
![[TERKINI] Amaran Ribut Tropika Senyar: Hujan lebat, angin kencang mulai hari ini [TERKINI] Amaran Ribut Tropika Senyar: Hujan lebat, angin kencang mulai hari ini](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41764214135_Ributtropika.jpg)
Ribut tropika dikesan berada pada Latitud 3.6° Utara dan Longitud 99.9° Timur, dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan 24 km/j dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j. - Foto MetMalaysia
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Ribut Tropika (SENYAR) susulan sistem cuaca itu dikesan menghala ke kawasan perairan berhampiran negara.
Ia berpotensi membawa hujan lebat berserta angin kencang di beberapa negeri mulai hari ini (27 Nov).
Menurut kenyataan MetMalaysia, ribut berkenaan dijangka menyebabkan keadaan laut bergelora, ombak tinggi dan risiko banjir kilat, khususnya di kawasan pesisir pantai serta lokasi rendah.
"Ribut tropika dikesan berada pada Latitud 3.6° Utara dan Longitud 99.9° Timur, dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan 24 km/j dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.
"Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Semenanjung Malaysia," kata MetMalaysia menerusi hantaran di media sosial pagi ini.
Amaran itu turut menyebut bahawa negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang, boleh mengalami hujan berterusan ekoran pengaruh Monsun Timur Laut, selain keadaan angin yang bertiup dari timur laut secara konsisten.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai, terutama komuniti maritim dan penduduk di kawasan berisiko, untuk sentiasa peka dengan maklumat terkini melalui portal rasmi, aplikasi MyCuaca dan platform media sosial jabatan tersebut.
Dalam masa sama, agensi itu mengingatkan bahawa sebarang perubahan arah atau intensiti ribut boleh berlaku dalam tempoh singkat, justeru pemantauan rapi perlu diteruskan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

