[TERKINI] PRN Sabah: 'Kamu fitnah sana sini, kamu kaya, rakyat miskin' - PM
![[TERKINI] PRN Sabah: 'Kamu fitnah sana sini, kamu kaya, rakyat miskin' - PM [TERKINI] PRN Sabah: 'Kamu fitnah sana sini, kamu kaya, rakyat miskin' - PM](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51764216802_TBAnwarIbrahim.jpg)
Anwar bersama bersama Hajiji bergambar kenangan pada temu rapat dengan pemimpin masyarakat tempatan dan sahabat usahawan Tuaran di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman hari ini. - Gambar/ Bernama
TUARAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Sabah supaya bangkit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini, dengan menolak pemimpin yang hanya mengejar kekayaan dan menindas masyarakat, terutama golongan miskin.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan rakyat perlu memilih pemimpin berdasarkan rekod perkhidmatan dan keupayaan mereka ketika berkuasa, bukan retorik atau serangan politik yang dimainkan ketika musim kempen.
Selain itu, Anwar yang juga Perdana Menteri turut menempelak sikap segelintir pihak yang membawa naratf "anti-Persekutuan" dan "anti-parti Malaya".
"Saya cakap... kamu cakap apa ini? Apa mahu perang? Mahu gaduh? Kamu gaduh tetapi kamu kaya... Gaduh rakyat, rakyat miskin... sebab itu saya langsung tidak setuju. Kamu cakap besar... kamu serang sana, kamu serang sini... fitnah sana, fitnah sini. Kamu kaya, tetapi rakyat miskin," tegas Perdana Menteri.
Perdana Menteri berucap dalam Majlis Temu Rapat dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar menambah, terdapat pemimpin yang sengaja mencetuskan pergaduhan dan menabur fitnah, sedangkan mereka hidup mewah.
Menurut Anwar, dalam kempen pilihan raya, akan ada individu yang mendakwa hanya mereka yang betul manakala pihak lain semuanya salah, tetapi rakyat perlu menilai fakta dan prestasi sebenar.
"Saya bertanggungjawab beritahu orang Sabah bahawa memilih pimpinan mesti berdasarkan rekod kerja.
"Siapa kata tiada masalah di sini? Di Selangor pun ada masalah, di Malaysia pun ada masalah. Kerja kita adalah menyelesaikan masalah itu," katanya lagi.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut memuji Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kerana mengekalkan kerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

