KUALA LUMPUR: Majlis Air Negara (MAN) menyarankan tindakan segera diambil dalam perancangan pembangunan negara dengan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim yang berlaku ketika ini.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan itu perlu diambil bagi mengelakkan peningkatan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, itu merupakan antara ketetapan yang dibuat pada Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 yang dipengerusikan beliau secara maya hari ini.

"Mesyuarat telah menekankan bahawa negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah Celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

"Selain itu, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga Rancangan Malaysia Ke-15.

"Agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya.

Pada mesyuarat tersebut, Ismail Sabri memaklumkan, MAN juga telah mempertimbang dan bersetuju degan tiga kertas pertimbangan yang telah dibentangkan.

i. Pewartaan Perizaban Tanah Kerajaan Untuk Pengekalan Kolam Takungan Banjir dan Rizab Sungai

Kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat.

Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.

Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar.

ii. Aras Lindung Selamat Reka Bentuk Infrastruktur Pantai Akibat Kesan Perubahan Iklim dan Kenaikan Aras Laut

Fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambil kira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan, supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara.

iii. Kerjasama Pelaksanaan Inisiatif Air Pulih Guna di antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Dengan Syarikat Operator Air Negeri

Inisiatif Air Pulih Guna ini bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran (Circular Economy) dalam menguruskan sumber air negara.

Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh Kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan Syarikat Operator Air.