Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Timbalan presidennya, Muhammad Fadli Hasan, berkata bendera yang menjadi simbol kedaulatan negara itu perlu dihormati setiap rakyat dan tindakan memasangnya secara terbalik merupakan satu penghinaan besar kepada negara.

"Tiada sebarang alasan dapat diterima dalam perkara membabitkan pemasangan bendera terbalik yang heboh diperkatakan netizen baru-baru ini.

"Justeru, tindakan undang-undang mengikut peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu diambil terhadap sesiapa yang didapati melakukan kesalahan ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Penghormatan tinggi bukan sahaja perlu diletakkan kepada bendera negara sendiri, malah bendera dari mana-mana negara juga perlu dihormati demi keharmonian sejagat, katanya mengulas mengenai beberapa insiden pemasangan bendera terbalik yang tular di laman sosial.

-- BERNAMA