KUALA LUMPUR: Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali untuk edisi kedua dengan skala lebih besar menerusi penganjuran Festival Budaya Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa dari 11 hingga 16 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia.
Festival bertemakan "Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa" itu menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta program komuniti dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal, berkata, festival tersebut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan pemain industri pelancongan menerusi peningkatan kehadiran pelawat domestik serta antarabangsa sepanjang enam hari penganjurannya.
Menurut beliau, AMFF 2026 mengekalkan makanan sebagai tunjang utama festival, namun konsepnya diperluaskan kepada pengalaman gaya hidup moden yang lebih interaktif melalui Festival Budaya Malaysia.
“Festival ini turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day yang akan memperkukuhkan elemen kecantikan, kesihatan dan kecergasan.
“Antara tarikan utama ialah penganjuran Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert khas bersempena Ambang Hari Malaysia dengan gabungan elemen muzik, seni dan budaya dalam satu persembahan.
“Sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula diteruskan menerusi program SimplyFit Zumba Malaysia Day bersama pelbagai aktiviti kecergasan, keluarga dan komuniti,” katanya pada sidang media AMFF 2026 x Festival Budaya Malaysia, di sini, pada Selasa.
Rayme berkata, lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen perniagaan akan mengambil bahagian dalam festival berkenaan sebagai usaha menjadikan AMFF sebuah platform yang menghubungkan makanan, budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia.
Katanya, festival itu bukan sekadar menyediakan ruang niaga kepada usahawan, sebaliknya bertujuan menghidupkan budaya melalui pengalaman yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh, di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat 'Kita Malaysia' sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia,” katanya.
Edisi pertama AMFF pada tahun lalu yang berlangsung di pekarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung serta menampilkan kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam acara Fun Run dan sesi podcast.
Sementara itu, selepas tamat penganjuran di Taman Tasik Titiwangsa, AMFF 2026 akan diteruskan di MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober ini bersempena Mysihat Expo 2026.
Penganjuran di MAEPS bakal memberi tumpuan kepada gabungan gastronomi, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, gaya hidup dan hiburan melalui kerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk Moonman Event menerusi HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 serta Event Lab di bawah Malaysia Strategic Development Institute (MSDI) melalui FRAGMANIA.
Kerjasama strategik itu dijangka mewujudkan ekosistem yang menghimpunkan kira-kira 600 vendor merangkumi sektor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti dalam satu destinasi.