Skip to main content

Malaysia

AMK bidas Ahmad Fadhli, tegas program korban bukan pentas politik murahan

Muhammad Kamil berkata kenyataan sinis berhubung sumbangan lembu korban oleh Perdana Menteri, jelas memperlihatkan sikap tidak matang, selain cubaan mewujudkan persepsi politik terhadap usaha kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. - Foto fail
Muhammad Kamil berkata kenyataan sinis berhubung sumbangan lembu korban oleh Perdana Menteri, jelas memperlihatkan sikap tidak matang, selain cubaan mewujudkan persepsi politik terhadap usaha kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. - Foto fail

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menegur kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa cuba mempolitikkan program korban serta bantuan kepada golongan asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kenyataan sinis berhubung sumbangan lembu korban oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas memperlihatkan sikap tidak matang, selain cubaan mewujudkan persepsi politik terhadap usaha kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Bagi mengimarahkan sambutan Aidiladha tahun ini, lebih 700 ekor lembu korban telah disumbangkan menerusi peruntukan dan sumbangan yang diselaraskan atas kapasiti Perdana Menteri bagi tujuan kebajikan rakyat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Advertisement

Beliau berkata pelaksanaan agihan itu diselaraskan oleh AMK menerusi kerjasama pelbagai yayasan, pertubuhan, persatuan serta rakan strategik lain bagi memastikan manfaat ibadah korban dapat disampaikan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, program Majlis Qorban Kasih MADANI turut dilaksanakan di pelbagai kawasan Parlimen di seluruh negara dengan penglibatan belia tempatan, masjid, surau, rumah anak yatim, institusi tahfiz serta komuniti setempat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Advertisement

“Sebagai contoh di Parlimen Padang Rengas sahaja, hampir 50 ekor lembu korban telah diagihkan kepada masjid, surau, rumah anak yatim, pusat tahfiz, persatuan dan penduduk sekitar.

“Malah Program Korban Perdana MADANI di Kampung Ribu tahun ini melibatkan 10 ekor lembu korban yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 penerima di kawasan berkenaan,” katanya.

Muhammad Kamil berkata perkara itu membuktikan usaha yang digerakkan bukan bersifat politik semata-mata, sebaliknya merupakan gerakan kebajikan berskala besar yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan asnaf.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa walaupun Perdana Menteri tidak mengambil gaji, beliau tetap melaksanakan amanah sebagai Ketua Kerajaan dan Menteri Kewangan dengan memastikan peruntukan kebajikan serta bantuan rakyat disalurkan secara adil ke seluruh negara termasuk negeri yang ditadbir pembangkang.

“Malah rakyat di Kelantan termasuk di Parlimen Pasir Mas sendiri tidak pernah dipinggirkan daripada menerima pelbagai bentuk bantuan dan manfaat di bawah Kerajaan MADANI,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan sambutan Aidiladha seharusnya menjadi ruang untuk menyemai nilai pengorbanan, perpaduan dan kasih sayang sesama masyarakat, bukannya dijadikan pentas sindiran politik terhadap usaha membantu golongan memerlukan.

“Rakyat hari ini cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja dan berkhidmat demi kepentingan rakyat serta siapa yang sekadar bermain sentimen politik ketika pihak lain sedang melaksanakan tanggungjawab membantu masyarakat,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement