KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memaklumkan bahawa Datuk Seri Amrin Awaluddin telah dilantik sebagai Pengerusi PPZ-MAIWP berkuatkuasa 23 April 2024 hingga 14 Februari 2026.

Amrin Awaluddin, 58, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England. Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat dan memulakan kariernya di institusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di beberapa syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.

Dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa buah syarikat lain antaranya Kumpulan Syarikat Media Prima Berhad, Sime Darby Properties Berhad, Boustead Holdings Berhad, Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji dan Tradewinds Group (M) Sdn Bhd.

Ahli Lembaga Pengarah, barisan Pengurusan dan warga kerja PPZ-MAIWP mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau dan yakin dengan pengetahuan dan pengalaman luas yang dimiliki Amrin mampu membawa PPZ-MAIWP ke arah yang lebih cemerlang.

PPZ-MAIWP ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang telah menamatkan perkhidmatannya pada 9 Februari 2024 di atas sumbangan dan khidmat beliau.