KENINGAU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian di Tambunan, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Elekson Langak, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.
Tertuduh sebelum itu didakwa membunuh ibunya yang berusia 56 tahun kira-kira jam 2 petang pada 11 September lalu di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh sementara menunggu kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Daniel Dominic. -Sinar Harian