Sebuah jawatankuasa untuk menangani masalah anak Sarawak tanpa kerakyatan telah meluluskan lebih 2,000 permohonan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri sejak Oktober 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata sebahagian daripada pemohon yang berjaya telah menerima dokumen pengenalan diri masing-masing manakala sebahagian yang lain masih belum menerimanya sungguhpun telah memperoleh kelulusan.

Entulu, selaku pengerusi bersama jawatankuasa itu dengan Datuk Maximus Ongkili dari Sabah dan Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sarawak yang diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu sehingga 31 Dis 2017, memohon wakil rakyat supaya membantu jawatankuasa berkenaan.

Sebagai rekod, istilah 'anak Sarawak tanpa kerakyatan', merujuk kepada penduduk tempatan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Jawatankuasa ini apabila menerima permohonan akan mempertimbangkan dua kriteria, iaitu pemohon dan ibu bapanya dilahirkan di Sarawak," katanya selepas merasmikan persidangan tritahunan kali keempat Wanita dan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini hari ini.

Sebagai tambahan, kata Entulu, jawatankuasa itu akan menyiasat butiran permohonan seperti dokumen sokongan dan bahan berkaitan bagi membuktikan ketulenan kewarganegaraan pemohon.

"Ada permohonan yang kami perlu rujuk semula kepada kerajaan negeri untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata pemohon terbabit akan ditemu bual terlebih dahulu, dan jika siasatan lanjut diperlukan, ia akan dirujuk kepada kerajaan negeri dengan menyiasat latar belakang pemohon seperti nenek moyang mereka.

Mengenai Bajet 2017, beliau berkata kerajaan perlu berbelanja dengan berhemah bagi memastikan penarafan yang baik oleh agensi penarafan antarabangsa. -- BERNAMA