Anakanda Sultan Selangor dahului 98 penerima Darjah Kebesaran Selangor

Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah. - Foto BERNAMA
KLANG: Anakanda kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Zerafina mendahului senarai 98 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-80 baginda hari ini.
Tengku Zerafina dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Dihormati (D.K.II).
Pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah Fook Ling.
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Mazlan Mansor, Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad Datuk Mark Yeoh Seok Kah dan Perunding Pakar Bedah Ortopedik Subang Jaya Medical Centre Datuk Dr Anuar Onah pula menerima Darjah Kebesaran Dato' Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) membawa gelaran Dato' Setia.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mendahului senarai 16 penerima bagi Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.
Turut menerima anugerah sama Pegawai Kewangan Selangor Datuk Dr Haniff Zainal Abidin, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Dr Jafri Abu.
Selain itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Azizah Omar, Hakim Mahkamah Rayuan Ong Chee Kwan, Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Laksamana Muda Fadhil Abdul Rahman, Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan dan Strategi Markas Tentera Laut Laksamana Muda Ahmad Shafirudin Abu Bakar serta Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Markas ATM Brig Jen Hamdan Ahmad TUDM.
Penerima lain ialah Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan John Patrick Antonysamy, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Selangor Raja Datin Seri Utama Johanna Adrina Raja Arshad, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abd Razak, KPE Kumpulan IOI Properties Group Berhad Datuk Lee Yeow Seng dan Pengarah Urusan Kuok Brothers Sdn Bhd Kuok Meng Xiang.
Istiadat berkenaan turut menyaksikan 17 individu menerima Darjah Kebesaran Dato'-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.
Mereka ialah Orang Besar Istana Tengku Seri Perkasa Diraja Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah, Panglima Markas Briged Kedua Infantri Brig Jen Mohd Rosli Abu Bakar, Komandan Akademi Tentera Darat Brig Jen Mohd Sauffi Omar, Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman dan Kardiologi Brig Jen Dr Mohd Rafizi Mohamed Rus dan Panglima Logistik Barat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut Laksamana Pertama Shaiful Bahri Baharuddin TLDM.
Turut menerima D.S.I.S ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Wan Md Razali Wan Ismail, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon, Pengarah Audit (Prestasi III) Jabatan Audit Negara Zirawati Kadir, Ketua Pegawai Siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Azhar Husin dan Anggota Majlis Agama Islam Selangor Prof Dr Khadijah Mohd Khambali@ Hambali.
Selain itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Darul Ehsan Mohd Salim Mohamed Sain, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kelang K Subramaniam, Imam Masjid Istana Diraja Mohd Rasid Mahful, Juruiring Polis kepada Sultan Selangor Supt Ahmad Rohisham Ahmad, Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Berhad Datuk Mohd Imran Mohamad Salim, Pengarah Urusan Valiram Group Ashvin Jethanand Valiram dan pelukis tersohor negara Yusof Ghani.
Atlet bina badan kebangsaan Ahmad Faiz Ariffin dianugerahkan Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S) manakala 10 individu menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) antaranya mereka yang terlibat dalam operasi insiden letupan saluran gas di Putra Heights iaitu Pegawai Daerah dan Tanah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim.
Sepuluh individu menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) antaranya Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Khairul Azuwan Ibrahim, iaitu mereka yang terlibat dalam operasi semasa insiden letupan saluran gas di Putra Heights serta Naib Presiden Komersial YTL, Power International Berhad Dominic Hua Shi Hao.
Pada istiadat berkenaan, 15 individu turut menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.), 15 menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S.), seorang atlet iaitu jaguh larian menara negara Soh Wai Ching menerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S.) manakala tujuh menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C.).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


