KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan tindakan memberi ancaman kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini merupakan perkara amat menggerunkan.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai melampau dan belum pernah berlaku dalam sejarah negara.

Bahkan, katanya, ancaman sebegitu tidak pernah wujud sebelum ini termasuk dalam kes yang membawa pesalah ke tali gantung.

"Berita tentang adanya pihak mengugut hakim amat menggerunkan.

"Tak pernah dalam sejarah negara ini gertak dan ancaman dihalakan kepada hakim walaupun dalam kes-kes tali gantung.

"Yang berlaku kini sudah melampau," ciap beliau di Twitternya.

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan sebarang elemen ugutan atau ancaman terhadap Tengku Maimun akan dijalankan siasatan dengan segera.

BACA: Ancaman terhadap Ketua Hakim Negara disiasat segera - KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, biarpun belum terdapat sebarang laporan yang dibuat namun perkara itu adalah satu isu yang serius.
awani app

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan mengesan sebarang ancaman atau ugutan terhadap Tengku Maimun di dalam pelbagai medium laman sosial termasuk aplikasi Twitter dan Facebook.