Ringkasan AI
- Angkatan Tentera Malaysia akan menilai kelayakan anggota terlibat salah laku untuk terus berkhidmat, termasuk yang tidak cukup bukti untuk didakwa.
- Lapan anggota tentera telah ditahan berkaitan kes penyalahgunaan aset TUDM untuk kegiatan dadah, dengan tiga daripada mereka telah didakwa di mahkamah.
- Kementerian Pertahanan menegaskan tiada kompromi terhadap anggota terlibat jenayah dan akan memastikan siasatan dilakukan sehingga dalang sindiket dikenal pasti.
JOHOR BAHRU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menilai kelayakan anggota yang terlibat dalam salah laku untuk terus berkhidmat, termasuk mereka yang tidak mempunyai bukti mencukupi untuk dihadapkan ke mahkamah sivil atau jenayah.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penilaian itu boleh dilakukan menerusi siasatan dalaman pihak tentera, bagi menentukan sama ada anggota terbabit masih wajar dikekalkan dalam perkhidmatan.
Beliau berkata tindakan itu termasuk kemungkinan terhadap anggota yang ditahan dalam kes penyalahgunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi kegiatan berkaitan dadah, sekiranya mereka tidak lagi direman atau dilepaskan oleh pihak polis.
“Kalau ada yang dilepaskan ataupun tidak direman seperti tiga orang itu, mungkin pihak tentera akan mengadakan siasatan dalaman untuk kita tentukan status.
“Mungkin tak cukup bukti dari sudut nak bawa ke mahkamah sivil atau mahkamah jenayah, pihak tentera akan tengok sama ada wajar ataupun tidak mereka ini patut terus berada dalam perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Karnival CIMIC Johor @ Pasir Gudang, di TMIYC Pasir Gudang.
Mohamed Khaled berkata kementerian memandang serius sebarang salah laku anggota tentera, kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan imej pasukan, malah menggagalkan usaha negara menjaga pertahanan.
Beliau berkata TUDM telah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi meneliti semua prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, susulan kes berkenaan.
Mohamed Khaled berkata setakat ini lapan anggota tentera, terdiri daripada enam pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat telah ditahan, manakala tiga daripada mereka telah didakwa.
Beliau menegaskan kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan akan menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang.
Beliau berkata pihaknya akan memastikan siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan anggota TUDM dilakukan hingga ke akar umbi, termasuk mengesan dalang sebenar sindiket terbabit.
“Kita tidak ada niat untuk mempertahankan sesiapa. Sebab itulah kita tangkap dan serahkan kepada polis untuk disiasat. Kita akan pergi sampai ke lubang cacing.
“Kita berharap pihak polis dapat menangkap dalang sebenar sindiket ini, kerana anggota tentera yang ditahan hanya menjadi alat kepada sindiket berkenaan,” katanya.
Semalam, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram.
Kesemua tertuduh, terdiri daripada Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, Tan Sui Seng, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin dan Afifah Amdas, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA