KUALA LUMPUR:
Saluran berita Astro AWANI terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju penyiaran berita melalui kemenangan wartawan penyiaran, Muhammad Seth Akmal Hamdan berjaya mengungguli tiga pengiktirafan dalam Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) ke-18 anjuran PCRA Malaysia (sempena Malaysian Public Relations Awards (MPRA) menerusi penghasilan laporan khas dan liputan berkualiti tinggi.
Pencapaian itu menyaksikan Astro AWANI membawa pulang anugerah emas bagi kategori Media Awards: Lifestyle Coverage (Broadcast) menerusi laporan bertajuk Rawatan Kesuburan Jadi Harapan Pasangan di Malaysia.
Selain itu, Astro AWANI turut meraih anugerah perak (silver) bagi kategori Media Awards: Issues & Crisis Coverage (Broadcast) menerusi laporan khas berjudul, 'Sukarelawan Mohon Bantuan Antarabangsa Urus Bencana' di Aceh.
Satu lagi pengiktirafan perak diperoleh menerusi kategori Media Awards: Social Responsibility Award bagi laporan khas bertajuk 'Lebih Dua Minggu Warga Aceh Bergelut Bersihkan Rumah' yang mengetengahkan cabaran penduduk dalam usaha membersihkan kediaman susulan bencana.
Kejayaan meraih satu anugerah emas (gold) dan dua perak itu mencerminkan komitmen Astro AWANI dalam menghasilkan laporan kewartawanan yang bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah mengetengahkan isu kemanusiaan, tanggungjawab sosial serta kepentingan masyarakat.
Anjuran Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia),MPRA 2026 menyaksikan penyampaian 88 anugerah dalam 40 kategori, merangkumi 37 Emas, 31 Perak dan 20 Gangsa, bagi mengiktiraf kecemerlangan kempen komunikasi,kepimpinan industri, pencapaian media, sumbangan kepada masyarakat serta bakat baharu.
Bertemakan 'PR Across Generations' (Perhubungan Awam Merentas Generasi), penganjuran tahun ini meraikan perkembangan profesion serta sumbangan pelbagai generasi dalam memajukan industri perhubungan awam dan komunikasi negara.
Presiden PRCA Malaysia, Mohd Said Bani C.M. dalam ucapannya berkata, penganugerahan berkenaan menekankan kepentingan kemajuan teknologi tanpa mengabaikan prinsip dan nilai asas dalam perhubungan awam.
“Daripada era mesin taip dan mesin faks hinggalah kepada media sosial dan kecerdasan buatan (AI), kaedah dan teknologi komunikasi telah berubah dengan pesat, namun matlamat asas profesion ini tetap sama," katanya.
Mohd Sani berkata demikian dalam ucapan di majlis penganugerahan Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PCRA) di sebuah hotel di ibu negara, pada Jumaat.
"Teknologi mungkin mengubah cara kita berkomunikasi, tetapi kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan, integriti dan keupayaan meraih kepercayaan masyarakat menentukan sejauh mana profesion ini kekal relevan," katanya.
Sementara itu, Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia diberikan turut diberikan kepada Datuk Ashwad Ismail sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan, penyiaran, inovasi media dan usaha memperkukuh kepercayaan masyarakat melalui komunikasi.