Ringkasan AI
- Calon GPS, Nurfatin Syafawani Tahamat dan Datuk Dr Ripin Lamat, menang tanpa bertanding di kerusi DUN Bekenu dan Lambir.
- Kemenangan ini dianggap sebagai sokongan moral dan perkembangan positif untuk GPS di kedua-dua kawasan berkenaan.
- Kemenangan tanpa bertanding berlaku selepas calon Bebas di Bekenu menarik diri kerana isu pencadang bukan pengundi berdaftar.
MIRI: Kemenangan tanpa bertanding calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu, Nurfatin Syafawani Tahamat dan N.72 Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat disifatkan sebagai hadiah kepada gabungan itu, khususnya di kedua-dua kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata perkembangan itu merupakan sesuatu yang positif buat GPS.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata kemenangan berkenaan turut menjadi sokongan moral terhadap proses demokrasi yang dilaksanakan.
“GPS memang meraikan demokrasi dan kita menerima baik apa yang telah diputuskan oleh pihak lawan.
“Walaupun demikian, proses demokrasi ini tidak boleh diambil mudah dan saya mengharapkan agar calon khususnya yang telah menang tanpa bertanding sebentar tadi, calon wanita, muda akan mengubah landskap politik di Bekenu untuk tempoh yang mendatang,” katanya ketika ditemui media selepas proses penamaan calon selesai di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Masyarakat Bekenu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama antara Parlimen dan DUN dapat diperkukuh bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dilaksanakan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bekenu, Arshad Samshu mengumumkan kemenangan Nurfatin selepas calon Bebas, Nordin Mus, yang sebelum ini mengemukakan borang penamaan calon, menarik diri daripada persaingan di kerusi tersebut.
Ia berikutan pencadangnya, Azahari Mohamad Bakar didapati bukan pengundi berdaftar di kawasan berkenaan, sekali gus menyebabkan proses pencalonan tidak dapat diteruskan.
Kemenangan Ripin pula disahkan oleh Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi bahagian Lambir, Siti Rohanie Yusof, pada 10 pagi tadi.
Untuk rekod, Bekenu dan Lambir merupakan kerusi DUN yang terletak di bawah kawasan Parlimen P.218 Sibuti, diwakili Lukanisman.