NATIONAL
Anggota FRU maut kemalangan: Saifuddin ucap takziah, utus doa buat wira negara

Saifuddin sifatkan pemergian mereka sebagai kehilangan besar buat negara kerana mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas tragik pagi tadi.
Beliau menyifatkan pemergian kesemua anggota berkenaan sebagai kehilangan besar buat negara, memandangkan mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan keamanan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan anggota pasukan keselamatan yang terkesan dengan kejadian ini.
"Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat negara, kerana mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.Menurut beliau, doa turut dipanjatkan agar roh kesemua wira negara ini ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan mendapat ganjaran atas jasa bakti yang dicurahkan kepada negara.
Terdahulu, kemalangan membabitkan trak FRU dan sebuah lori muatan batu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Chikus–Sungai Lampam, menyebabkan kematian sembilan orang anggota.
Lapan daripada mangsa meninggal dunia di lokasi, sementara dua lagi menghembuskan nafas terakhir di hospital.
Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan kesemua mangsa lain telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut.
Siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan, termasuk usaha mengenal pasti punca kemalangan dan identiti mangsa yang terkorban.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami