Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang wanita merupakan antara lapan individu yang ditahan dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah sekitar ibu negara dan Johor Bahru.

Kesemua suspek yang berusia 32 hingga 58 tahun itu ditahan dalam enam serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dalam serbuan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (Sting) Bukit Aman itu merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM721,000.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Bandar Baru Sri Petaling, pasukan polis menahan sepasang kekasih dipercayai dalang utama sindiket itu.

Kata beliau, dalam serbuan itu kita berjaya merampas 10.3 kilogram dadah jenis syabu dan 37 biji pil ekstasi.

“Siasatan awal mendapati, pasangan kekasih ini mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Tambah Mohmad, serbuan kedua dijalankan di Jalan Perdana, Pandan Perdana menahan tiga lelaki dan merampas 21 gram dadah jenis ketamin, 79 gram ganja, 11.5 gram syabu, 10 biji eramin serta tujuh ekstasi.

Manakala katanya, serbuan yang ketiga pula di sebuah premis taman Setiawangsa di mana seorang suspek lelaki serta serbuan keempat dilakukan pasukan Sting di Setapak dan operasi terakhir dibuat di Muar, Johor.

“Hasil rampasan dadah ini boleh digunakan kira-kira 51,810 penagih. Siasatan awal mendapati, sindiket itu mengedar dadah jenis syabu, ketamin, ganja, eramin 5 dan ekstasi,” katanya.

Tambah Mohmad, turut ditemui 50 biji peluru hidup jenis 9mm. dan jumlah sitaan ke atas semua lokasi berjumlah RM2.73 juta.

Ujarnya, pihaknya turut merampas pelbagai wang tunai bernilai RM2.1 juta, lapan kereta, lima utas jam tangan berjenama dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan sitaan RM2.73 juta.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.