GEORGE TOWN: Seorang anggota polis mengalami kecederaan luka di tangan ketika cuba menahan seorang lelaki yang terlibat dalam pergaduhan, di Lebuh Chulia, di sini ,semalam, yang video berhubung kejadian itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong, berkata dalam kejadian 8.35 malam itu, lelaki berusia 56 tahun itu bukan sahaja mencederakan anggota polis tersebut malah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota tersebut ketika hendak ditahan.

"Pihak polis pada mulanya menerima panggilan telefon daripada orang awan yang memaklumkan seorang lelaki tempatan telah membuat kecoh dan menumbuk muka serta kereta milik orang awam di kawasan Lebuh Chulia itu.

"Pihak polis terus ke lokasi kejadian dan ketika cuba menahan lelaki itu, suspek telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota bertugas dan semasa hendak menahannya berlaku pergelutan sehingga menyebabkan anggota tersebut cedera luka di tangan," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semasa ditahan suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah.

Soffian berkata suspek, yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah itu, kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikutb Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

"Pihak polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dan saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video berkenaan kejadian tersebut di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu video yang berdurasi tujuh saat memaparkan seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk telah bertindak menumbuk muka dan kereta orang awam di kawasan itu.

-- BERNAMA