SEOUL: Sebuah restoran dua bintang Michelin di ibu negara Korea Selatan didenda selepas didapati menggunakan semut sebagai hiasan pencuci mulut, sekali gus melanggar undang-undang keselamatan makanan negara itu.
Menurut laporan media tempatan, pemilik restoran Evett di Seoul dikenakan denda 15 juta won (kira-kira RM47,000), manakala syarikat yang mengendalikan restoran berkenaan didenda 10 juta won kerana melanggar Akta Sanitasi Makanan.
Kes itu terbongkar selepas pihak berkuasa mendapati semut digunakan sebagai hiasan pada beberapa hidangan pencuci mulut bagi menghasilkan rasa masam yang unik.
Pihak pendakwaan sebelum ini memohon hukuman penjara setahun terhadap pemilik restoran berkenaan serta denda 20 juta won.
Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh serta fakta bahawa beliau tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini ketika menjatuhkan hukuman.
Hakim bagaimanapun menegaskan kesalahan itu tidak boleh dipandang ringan, terutamanya selepas ujian mendapati kandungan logam berat dalam semut yang digunakan melebihi had yang dibenarkan.
Pemilik restoran berkenaan dilaporkan mendakwa beliau tidak menyedari penggunaan semut sebagai makanan dilarang di Korea Selatan kerana serangga itu digunakan sebagai bahan makanan di beberapa negara lain.
Siasatan mendapati restoran tersebut menggunakan antara tiga hingga lima ekor semut sebagai hiasan bagi hidangan tertentu sepanjang hampir empat tahun, melibatkan kira-kira 49,000 ekor semut.
Kebanyakan semut itu diimport dari Amerika Syarikat, manakala selebihnya diperoleh dari Thailand.
Di Korea Selatan, hanya 10 spesies serangga diluluskan untuk dimakan manusia, termasuk belalang, kumbang tertentu dan ulat sutera. Semut tidak termasuk dalam senarai tersebut.
Pihak restoran mempertahankan tindakannya dengan menyatakan semut hanya digunakan dalam sebahagian kecil daripada menu 15 hidangan yang ditawarkan, selain pelanggan diberikan pilihan untuk memilih hiasan lain.
Walaupun semut dianggap makanan istimewa dalam beberapa budaya di Asia, Afrika dan Amerika Latin, penggunaannya di Korea Selatan tetap tertakluk kepada peraturan keselamatan makanan yang ketat.