Skip to main content

Dunia

Ed Sheeran gesa Kraft sumbang AS$2 juta selepas kontroversi Macklemore

[TB]_Robert Kraft Respond_Instagram @gillettestadium_The Kraft Group
Robert Kraft berkata Ed Sheeran memintanya menyumbang AS$2 juta bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Asia Barat, menerusi kenyataannya pada Khamis. - Foto The Kraft Group
Advertisement

PENYANYI terkenal Britain, Ed Sheeran, dilaporkan meminta pemilik Stadium Gillette dan pemilik pasukan New England Patriots, Robert Kraft, menyumbangkan AS$2 juta bagi membantu usaha kemanusiaan di Asia Barat susulan kontroversi melibatkan penyanyi rap pro-Palestin, Macklemore.

Kraft dalam kenyataan terbaharunya pada Khamis berkata, permintaan itu dibuat oleh Sheeran sebelum Macklemore mencabarnya menyamai sumbangan yang diumumkan rapper berkenaan.

“Malam ini, Ed menghubungi saya dan meminta saya menyumbang AS$2 juta bagi menyamai sumbangannya untuk bantuan kemanusiaan di rantau itu dalam usaha menangani krisis kemanusiaan yang berlaku,” kata Kraft.

Menurut beliau, Sheeran juga bercadang menghubungi pemilik-pemilik lokasi persembahan lain bagi menggalakkan lebih banyak sokongan kemanusiaan.

Kontroversi itu tercetus selepas Kraft mengesahkan beliau mengarahkan Macklemore digugurkan sebagai artis pembukaan konsert jelajah Loop Tour Ed Sheeran di Stadium Gillette berhampiran Boston.

Kraft mendakwa keputusan itu dibuat kerana beliau tidak mahu venue miliknya dijadikan platform kepada ucapan yang disifatkannya sebagai kebencian.

Macklemore, atau nama sebenarnya Benjamin Haggerty, sebelum ini mengadakan persembahan pada dua konsert Ed Sheeran di New Jersey sambil menyuarakan sokongan kepada Palestin dan memaparkan imej kemusnahan di Gaza.

Bagaimanapun, Sheeran menegaskan beliau tidak terlibat dalam keputusan menggugurkan Macklemore daripada siri jelajah berkenaan dan menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat oleh pihak penganjur.

Dalam perkembangan terbaharu, Macklemore mengumumkan beliau akan menyumbangkan keseluruhan keuntungan bersih sebanyak AS$1 juta yang diperoleh daripada siri jelajah berkenaan kepada enam organisasi Palestin.

Beliau turut mencabar Kraft untuk menyamai jumlah sumbangan tersebut.

Kraft yang berketurunan Yahudi berkata beliau telah lama menyokong pelbagai usaha yang memberi peluang kepada rakyat Palestin serta menggalakkan kerjasama antara masyarakat Palestin dan Israel.

“Saya telah mendedikasikan sebahagian besar hidup saya untuk membina jambatan antara semua pihak. Saya percaya setiap nyawa wajar dilindungi,” katanya.

Sementara itu, beberapa artis pembukaan lain dalam jelajah Sheeran dilaporkan menarik diri sebagai tanda solidariti terhadap Macklemore.

Mereka mendakwa keputusan menggugurkan penyanyi rap itu menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan bersuara dalam kalangan penggiat seni.

 

 

Must Watch Video

Advertisement