Skip to main content

Malaysia

Anggota polis didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung

Anggota Polis Didakwa Lakukan Amang Seksual Fizikal Terhadap Anak Kandung -- BERNAMA
Tertuduh yang berusia 35 tahun itu didakwa sebagai seorang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang semasa kejadian berumur 11 tahun 10 bulan, bagi tujuan seksual. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya, dua bulan lepas.

Tertuduh yang berusia 35 tahun itu didakwa sebagai seorang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang semasa kejadian berumur 11 tahun 10 bulan, bagi tujuan seksual.

Bapa empat anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah unit pangsapuri di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara 9 malam hingga 10 malam pada 21 Mei dan 2 petang, 22 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana sebelum ini dia didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol seorang lagi anak perempuannya berusia 18 tahun.

“Selepas mahkamah memberikan jaminan, ahli keluarga mangsa membuat aduan bahawa tertuduh mengganggu remaja terbabit. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh,” katanya.

Peguam Muhammad Azim Hilmi Aziz yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin atas alasan pertuduhan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu melibatkan kes berlainan. 

“Anak guam saya tidak lagi tinggal bersama kedua-dua mangsa dan bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan ditetapkan. Dia kini menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak. Ubat yang dipreskripsikan untuk penyakitnya tidak boleh diambil di penjara kerana boleh menyebabkan kesan sampingan,” katanya.

Muhammad Hairuliqram kemudian mencadangkan supaya tertuduh yang digantung tugas itu ditempatkan di hospital berkenaan bagi memudahkan semua pihak mendapatkan perkembangan kesihatannya, namun Muhammad Azim Hilmi memaklumkan tertuduh tidak berhasrat membuat permohonan supaya dihantar ke Hospital Bahagia.

Peguam itu berkata ibu tertuduh juga bersedia untuk melunaskan bayaran ikat jamin selain memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Hakim Norshila Kamarudin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement