Seorang anggota polis maut dan 12 lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan lima kenderaan di Km67.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata dalam kejadian 8.30 malam itu, Koperal Shahirul Shahzal Md Hussein, 53, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya empat lagi dalam kereta dipandu Shahirul Shahzal iaitu Inspektor Azman Payung, 36; Sarjan Kamarolzaman Sapian, 30; dan Konstabel Nur Muhammad Nasarudin, 28, serta seorang awam yang identitinya belum dikenal pasti kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

"Lapan lagi iaitu seorang penunggang motosikal, pemandu dua buah kereta bersama tiga penumpangnya dan pemandu lori serta kelindannya tidak mengalami kecederaan serius," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Abduh berkata kejadian berpunca apabila penunggang motosikal itu terjatuh ketika cuba mengelak satu objek di atas jalan, namun sempat bangun dan menolak motosikal terbabit ke tepi bahagian lebuh raya.

"Bagaimanapun, tindakan penunggang itu menyebabkan sebuah kereta yang berada di belakangnya berhenti mengejut menyebabkan pemandu lori di belakangnya turut berhenti mengejut sebelum dirempuh kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa dan sebuah lagi kereta di belakangnya," katanya.

-- BERNAMA