MALAYSIA
Anggota polis maut dirempuh kenderaan penjenayah pecah rumah

Arwah Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki yang berusia empat, sembilan dan 11 tahun. - Facebook Polis Kedah
ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat Koperal maut selepas dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah yang sedang melakukan jenayah pecah rumah di Taman Golf, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Kedah CP Adzli Abu Shah berkata mangsa yang berusia 35 tahun itu, maut di tempat kejadian selepas kenderaan utiliti sukan jenis Lexus yang dinaiki empat suspek merempuh mangsa yang baharu sahaja turun dari bahagian pemandu kereta.
"Pada 3.30 petang tadi, pihak polis menerima maklumat awam berhubung aktiviti jenayah disyaki pecah rumah. Sepasukan lima pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, telah ke lokasi kejadian dengan menaiki dua kenderaan.
"Sebaik tiba, mangsa yang keluar kereta terus dirempuh suspek yang cuba melarikan diri. Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Beliau berkata, seorang suspek berjaya ditahan di lokasi itu, sementara tiga lagi melarikan diri dengan kenderaan tersebut sebelum berjaya diberkas di Kepala Batas, dekat sini.

Isteri Allahyarham Mohd Hafizul, Nur Azhanis Mohd Yusof, 36, kelihatan sebak ketika mengiringi jenazah suaminya untuk dibawa pulang ke Terengganu. --fotoBERNAMA
"Tiga suspek itu turut melarikan sebuah kereta yang dinaiki sepasang suami isteri warga emas di sebuah hotel. Suspek telah menarik keluar pemandu lelaki dan turut membawa sama isteri mangsa yang berada di bahagian penumpang hadapan.
"Kereta yang dilarikan suspek kemudian terlibat dalam kemalangan di Kepala Batas sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan berkenaan," katanya.
Adzli berkata kesemua suspek yang berusia 24 hingga 26 tahun itu, akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 457 kerana pecah rumah.

Jenazah Mohd Hafizul diusung keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Setiu, tengah malam tadi. --fotoBERNAMA
Beliau berkata suspek berusia 26 tahun yang dipercayai merupakan ketua kumpulan itu, mempunyai 77 rekod jenayah lampau yang majoritinya melibatkan kes pecah rumah dan curi kereta selain kes dadah.
Manakala tiga lagi suspek kumpulan itu yang dipercayai dari selatan tanah air, turut mempunyai rekod jenayah yang melibatkan pelbagai kesalahan.
"Kita akan memohon reman esok dan menjalankan siasatan lanjut termasuk bekerjasama dengan Kontinjen Johor dan jabatan berkaitan. Kita perlu faham kenapa mereka berada di kawasan ini, adakah mereka datang secara rawak atau mendapat maklumat dalaman bahawa rumah itu kosong," katanya.
Adzli berkata jenazah arwah Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dan berasal dari Setiu, Terengganu itu melalui proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
"Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki yang berusia empat, sembilan dan 11 tahun, kita masih belum pasti di mana arwah akan dikebumikan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya malam tadi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami