SIBU: Tujuh penghuni beberapa bilik sewa di tingkat tiga sebuah bangunan kedai di Bandar Baru Sibujaya terpaksa mencari tempat perlindungan selepas bumbung premis yang didiami mereka tercabut akibat angin kencang dan hujan lebat petang semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu berkata kesemua bilik di tingkat berkenaan tidak lagi selamat didiami susulan kerosakan pada bahagian bumbung.
“Kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di rumah saudara-mara sehingga keadaan kembali selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 4 Sibu Penguasa Kanan Bomba Andy Alie berkata kejadian ribut yang berlaku pada 2.58 petang itu turut menyebabkan beberapa bahagian struktur Balai Bomba dan Penyelamat Sibujaya mengalami kerosakan.
Beliau berkata kerosakan melibatkan pintu gelangsar kaca di lobi hadapan tingkat bawah, dinding kaca lobi, siling gipsum lobi, dinding aluminium di ruang parkir jentera, atap lut sinar di ruang legar serta sistem lampu dan pendawaian elektrik.
“Walaupun mengalami kerosakan, balai Sibujaya masih beroperasi seperti biasa. Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secepat mungkin selepas penilaian status dan anggaran kerosakan selesai dibuat,” katanya.
Sementara itu, Portal Bencana NADMA melaporkan sebuah pusat pemindahan sementara telah dibuka bagi menempatkan 11 mangsa daripada dua keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut berkenaan.
-- BERNAMA