MALAYSIA
Angin kencang, tanah gambut berbara antara cabaran bomba kawal kebakaran di Mukah

Pemimpin masyarakat tempatan di Mukah menggesa penduduk agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ini. - Gambar fail
SIBU: Anggota bomba terpaksa berdepan cabaran angin kencang, tanah gambut berbara dan kekurangan sumber air dalam usaha mengawal kebakaran belukar di belakang Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah, yang berlarutan sejak Khamis lepas.
Ringkasan AI
- Kebakaran belukar di belakang Kampus UiTM Mukah melibatkan tanah gambut yang berbara, angin kencang dan kekurangan sumber air, menyukarkan usaha pemadaman oleh bomba sejak Khamis lalu.
- Tindakan drastik seperti pembinaan penghadang kebakaran sepanjang 100-200 meter telah diambil bagi mengelak api merebak ke ladang sawit berdekatan; kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka oleh pekebun.
- Di Jalan Miri-Marudi, kebakaran di ladang nanas Long An Unga seluas 80.15 hektar berjaya dikawal daripada merebak, walaupun operasi pemadaman bara dalam tanah gambut berdepan cabaran cuaca kering dan sumber air terhad.
"Kebakaran ini masih belum terkawal sepenuhnya. Kita berharap pembinaan penghadang kebakaran dapat bertindak sebagai benteng untuk mengelak api daripada terus marak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka oleh pekebun yang membersihkan kebun dengan membakar ranting dan sisa tanaman, kemudian gagal dikawal akibat keadaan cuaca panas dan tanah yang terlalu kering.
"Sekiranya angin tidak bertiup kencang dan strategi pemadaman dijalankan dengan betul, kita jangka keadaan boleh dikawal dalam masa terdekat. Kita juga berharap hujan akan turun bagi membantu memadamkan bara secara semula jadi," katanya.
Usaha memadam kebakaran yang melibatkan kawasan seluas dua hektar itu menjadi lebih mencabar apabila kekurangan sumber air, memaksa pasukan bomba menggali parit bagi mendapatkan air tambahan tetapi kelodak yang terdapat dalam parit baharu menyebabkan pam air tersumbat.
Sementara itu, pemimpin masyarakat tempatan di Mukah Penghulu Besiri Keri menggesa penduduk agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ini.
"Api kecil pun boleh jadi besar bila angin bertiup. Jika berlaku kebakaran, memang sukar untuk dikawal. Oleh itu, elakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan orang ramai juga dinasihatkan pakai pelitup muka kerana udara tercemar boleh jejaskan kesihatan," katanya.
Dalam pada itu, usaha mengawal kebakaran di sebuah kawasan seluas 80.15 hektar di ladang nanas Long An Unga di Jalan Miri-Marudi di utara Sarawak menunjukkan perkembangan positif apabila anggota bomba berjaya mengekang keadaan itu daripada merebak.
"Operasi pemadaman tertumpu di kawasan sempadan antara hutan, kebun sawit dan nanas. Walaupun keadaan cuaca kering dan sumber air terhad menyukarkan operasi, tiada kebakaran baharu berlaku," menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Menurut laporan itu, operasi pemadaman bara api dalam tanah gambut diteruskan sejak pagi tadi setelah ditangguhkan pada 5 petang semalam ekoran kehabisan sumber air daripada kolam berdekatan lokasi kebakaran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami