SUBANG: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan sebanyak 30 koperasi sekolah mampu mencapai perolehan melebihi RM1 juta menjelang akhir tahun ini.

Presiden Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata sasaran itu mampu direalisasikan berikutan terdapat 26 koperasi sekolah yang merekodkan perolehan melebihi RM1 juta untuk akaun 2023 dan beliau yakin koperasi terbabit mampu mencapai RM1.5 juta tahun ini.

"Kita juga jangkakan ada sekurang-kurangnya lima sekolah lagi akan mencapai angka itu pada tahun ini. Justeru, saya yakin tahun 2024 ini 30 buah koperasi sekolah akan mencatatkan perolehan lebih RM1 juta," katanya.

Abdul Fattah yang juga Presiden Kesatuan Koperasi ASEAN (ACO) ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS), Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) dan Ikon Koperator Muda 2023 Peringkat Kebangsaan di sini, malam tadi.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mengambil contoh Koperasi Kolej Vokasional Tanah Merah Berhad yang mencatatkan perolehan RM2 juta sehingga tahun kewangan 2023, Abdul Fattah berkata kejayaan itu merupakan bukti kukuh bahawa koperasi sekolah mampu menguruskan perniagaan berimpak tinggi dan membawa keuntungan kepada anggota.

"Perolehan memberangsangkan koperasi sekolah turut menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan sebagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara, sekali gus membantu sekolah menguruskan aktiviti ko-kurikulum serta pembangunan sekolah khusus melalui tabung khas yang diwujudkan koperasi," katanya.

Beliau turut memohon kementerian untuk meneliti semula beberapa perkara berkaitan koperasi sekolah terutamanya dalam aspek perniagaan kantin dan koperasi, jadual anjal kepada guru terlibat serta kerjasama antara pengurusan dengan koperasi.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata majlis berkenaan bertujuan memberikan pengiktirafan kepada koperasi sekolah terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan, selain menjadi pemangkin dalam meningkatkan kesedaran komuniti berhubung koperasi serta peranan pertubuhan itu dalam melahirkan murid berkualiti.

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapan beliau menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan koperasi sekolah yang dilihat semakin kreatif dan berinovasi sehingga mampu menawarkan pelbagai produk berkualiti kepada pengguna.

Pada majlis itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sepuluh Lekir Perak Berhad memenangi Anugerah PKS 2023 manakala Koperasi Sekolah Menengah Vokasional Tanah Merah Berhad meraih Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah 2023.

Menurut ANGKASA, sehingga 30 Jun 2023, sebanyak 2,485 koperasi sekolah berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan keanggotaan seramai 2,047,124 orang.

Syer atau yuran keanggotaan berjumlah RM29.79 juta telah berjaya menyumbang kepada pemilikan aset bernilai RM440.12 juta dan perolehan sehingga 31 Dis 2022 adalah sebanyak RM298.76 juta.

-- BERNAMA