Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Pakatan Global Menangani Daish pada 22 Mac 2017.

Diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri, mesyuarat yang akan dihoskan oleh Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson itu bertujuan mempergiatkan kempen menentang Daish dengan kerjasama 68 negara-negara ahli Pakatan Global.

Mesyuarat tersebut juga akan membincangkan isu-isu seperti keperluan bantuan kemanusiaan serta pembersihan periuk api dan bantuan penstabilan kawasan-kawasan di Iraq dan Syria yang pernah ditawan Daish.

Mesyuarat tersebut antara lain akan mengenal pasti mekanisme terbaik dalam usaha mencegah Daish daripada terus melancarkan serangan-serangan keganasan yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, di samping memberi perhatian khusus dalam usaha mengekang penularan ideologi kumpulan pengganas berkenaan.

Semasa mesyuarat itu nanti, Anifah dijangka berucap mengenai ancaman-ancaman semasa Daish dari perspektif negara dan serantau, cabaran dan langkah pencegahannya, selain berkongsi pengalaman Malaysia dan usaha-usaha negara dalam mencegah keganasan dan keganasan melampau.

Dalam kesempatan itu juga, Anifah dijadual bertemu Tillerson, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama dan juga pembangunan global dan serantau.

Pertemuan itu adalah signifikan mengambil kira ia merupakan lawatan kerja pertama Anifah ke AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.