Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan, beliau tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan bulan depan.

Bekas Menteri Luar itu bagaimanapun, berkata, beliau akan kembali semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Ini adalah detik emosi bagi saya untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini.

"Saya percaya bahawa kecuaian Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyusahkan rakyat di Kimanis dan pembaziran wang pembayar cukai.

"Saya akan bertanding semula di Kimanis pada PRU15," kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos yang membatalkan keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Kimanis yang disandang Anifah.

Mahkamah Persekutuan sebulat suara mendapati mahkamah pilihan raya tidak melakukan kesilapan dalam keputusannya.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari depan.

Sementara tatikh penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari 2020 manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari 2020.

Sekalipun, tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat, Anifah berkata, beliau menghormatinya dan dalam masa sama akan tetap menyaman SPR untuk menuntut ganti rugi.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU154 dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Kerusi P176 Parlimen Kimanis merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan.