LABUAN: Perolehan tiga unit sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) ANKA-S dijangka meningkatkan keupayaan pemantauan maritim negara selain mengurangkan kos operasi aset pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ANKA-S berupaya mengesan dan mengecam profil kapal secara tepat, sekali gus membolehkan aset keselamatan digerakkan secara lebih bersasar.
Menurutnya, kemampuan itu mengelakkan rondaan tidak perlu yang sebelum ini terpaksa dilaksanakan menggunakan pesawat atau kapal peronda berskala besar dengan kos operasi yang lebih tinggi.
"ANKA-S mampu mengenal pasti dan menjejak profil kapal secara tepat. Dengan demikian, ia dapat merancang dan mengatur gerak aset dengan lebih efisien," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu ANKA-S di Pangkalan Udara Labuan.
Tambah beliau, kos operasi setiap jam penerbangan ANKA-S jauh lebih rendah berbanding pesawat pejuang atau kapal peronda maritim yang digunakan sebelum ini untuk tujuan pemantauan.
Mohamed Khaled berkata pengoperasian ANKA-S turut menjadi satu lonjakan strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan dan pengawasan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan.