PUTRAJAYA:Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini mendedahkan surat sokongan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Annuar, ini merupakan pertama kali surat bertarikh 11 Oktober itu didedahkan kerana beliau tidak bersetuju dengan pendirian menyokong Presiden PKR itu.

Beliau juga menjelaskan antara isi kandungan surat sokongan yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong itu ialah untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN)

"Saya tahu semua sekali dan surat ini saya sudah semak dengan banyak pihak dan surat ini adalah tulen.

"Dalam surat ini antara perkara-perkara yang disebut ialah menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar perdana menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar Ibrahim," katanya pada sidang media khas berikutan pengguguran jawatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Sidang media berkenaan diadakan sehari selepas ahli parlimen Ketereh itu diketepikan daripada jawatannya sebagai Setiausaha Agung BN.

Pada Selasa, Zahid mengumumkan Datuk Seri Ahmad Maslan menggantikan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.

Ia dibuat dalam satu pertemuan khas ketua-ketua bahagian UMNO bersama presiden parti di Dewan Tun Husseiin Onn, WTC.

Dalam sidang media itu juga, Menteri Wilayah Persekutuan itu juga mezahirkan rasa kesal beliau terhadap keputusan parti berhubung Muafakat Nasional (MN).

Beliau menjelaskan keputusan flip-flop (tidak tetap) Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara-perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) menyebabkan kesamaran hala tuju gabungan UMNO dan Pas itu.

"Situasi ‘flip-flop’ pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam halatuju MN.

"Seruan demi seruan untuk dibubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat," katanya lagi.

BACA: Surat Anwar dakwa dapat 131 sokongan Ahli Parlimen pula tular

BACA: 'Saya terima dipecat Zahid Hamidi' - Annuar Musa

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kemelut UMNO? Mana hala tuju menjelang PRU15