KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menyeru seluruh masyarakat terutama di Wilayah Persekutuan, agar tampil mendaftar diri untuk menerima suntikan COVID-19.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, tiada siapa yang perlu bimbang baik dari segi hukum syarak atau sudut kesihatan dan sebagainya berhubung suntikan tersebut.

"Seluruh dunia telah melakukan ini (suntikan)... berjuta orang setiap hari sedang disuntik dengan vaksin ini.

"Jadi eloklah kita bersama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan oleh kerajaan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat," kata beliau dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Annuar sebelum itu melancarkan Program Imunisasi COVID-19 peringkat Wilayah Persekutuan melibatkan lebih 40,000 petugas barisan hadapan yang bakal menerima suntikan bagi fasa pertama.

Beliau turut menerima suntikan pertama hari ini.

Menurut Annuar, adalah penting untuk rakyat menjayakan program tersebut dalam memastikan negara berjaya mengawal pandemik COVID-19.

"Jadi, pengalaman ini adalah satu pengalaman testimoni yang mana rakyat dan masyarakat tidak perlu menaruh apa-apa kebimbangan dan kita sendiri telah melaluinya dan pada 23 Mac nanti (saya akan terima) dos yang kedua.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana menyusun satu protokol suntikan yang cukup teratur dan kemas.

"Petugas-petugas menjalankan tugasnya dengan baik yang mana pada fasa pertama ini lebih 40,000 petugas barisan hadapan akan melakukan proses ini," ujar beliau lagi.

Terdahulu, Annuar berkata, beliau perlu melalui beberapa proses sebelum diberikan suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, tiada sebarang kesan sampingan atau kesakitan dirasai selepas divaksinasi.